Honda CBR150R 2021 generasi serba baharu mula dilancarkan di pasaran Indonesia dalam bulan Januari 2021 yang lalu. Model sport bike itu kemudiannya dilancarkan pula di pasaran Filipina dalam bulan April 2021. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini telah terdengar desas-desus bahawa ianya akan turut dilancarkan oleh Boon Siew Honda.
Namun sebelum itu, model berkenaan terlebih dahulu telah dilancarkan secara rasmi di pasaran Bangladesh, pada tarikh 08hb. Jun 2021 baru-baru ini. Untuk pasaran negara tersebut, hanya satu pilihan warna sahaja yang ditawarkan iaitu Tricolor. Harga jualan yang ditetapkan adalah sebanyak BDT 538,000.00, bersamaan nilai RM 26,455.36.
Honda CBR150R 2021 untuk pasaran Bangladesh mempunyai senarai spesifikasi yang serba lengkap. Antaranya dilengkapi enjin 149.16cc (4-Stroke, DOHC, 4-Valve) dengan kuasa maksimum 17.1PS @ 9,000rpm dan tork puncak 14.4Nm @ 7,000rpm, transmisi enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch dan kapasiti tangki bahan api 12 liter.
Spesifikasi lain yang pastinya cukup menarik ialah panel meter digital berwarna dengan pelbagai informasi, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan USD, sistem brek Dual Channel ABS, Emergency Stop Signal, roda depan dan belakang berukuran 100/80 – 17 dan 130/70 – 17, ketinggian tempat duduk 782 mm dan berat 137 kg (kerb weight).