Salah sebuah model motosikal menarik dan sporty keluaran Benelli yang ditawarkan di pasaran Malaysia ialah Benelli 150S. Bagaimanapun untuk pasaran luar negara, model tersebut boleh didapati dalam versi dengan kapasiti enjin yang lebih besar, iaitu Benelli 180S. Baru-baru ini, pasaran Filipina baru saja menerima kehadiran model naked itu.
Benelli 180S 2021 di pasaran Filipina dijual pada harga Php 129,900, bersamaan nilai RM 10,974.43. Empat pilihan warna ditawarkan iaitu hijau, merah, putih dan juga hitam. Enjinnya bersesaran 175.3cc (1-cylinder, 4-stroke, 4-valve) dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 18hp @ 9,000rpm dan tork 14.5Nm @ 7,000rpm.
Sama seperti model Benelli 150S, Benelli 180S turut dilengkapi teknologi tiga palam pencucuh, sistem suntikan bahan api EFI dan klac tangan untuk tunggangan yang lebih berprestasi. Selain itu ialah tangki bahan api 10 liter, fork depan jenis USD, sistem brek cakera, rim aloi dan tayar depan dan belakang yang bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17.
Sistem lampu LED dan panel meter digital LCD seterusnya melengkapkan penampilan model naked tersebut. Benelli 150S di pasaran Malaysia mempunyai peminatnya yang tersendiri. Pada masa akan datang, mungkin pengedarnya iaitu MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. akan memperkenalkan pula Benelli 180S sebagai model yang dinaik taraf.