Yamaha 125ZR 2013 versi NOS berwarna hitam untuk dijual di pasaran Vietnam, harga hampir RM 90k

Model moped dua lejang bertaraf legenda Yamaha 125ZR versi NOS (New Old Stock) sememangnya sukar dijumpai. Jika masih ada sekalipun, harga jualan yang ditetapkan oleh pemiliknya adalah tinggi, bersesuaian dengan tarafnya sebagai model yang telah mencapai status ‘rare’. Ini kerana Yamaha telah lama menghentikan pengeluarannya.

Terkini, sebuah model Yamaha 125ZR keluaran tahun 2013 versi NOS berwarna hitam telah diiklankan untuk dijual di pasaran Vietnam, pada harga 500,000,000 VND. Harga tersebut bersamaan RM 89,806.07 mengikut kadar semasa. Pemiliknya Cuong Nguyen, sebelum ini pernah menjual sebuah Suzuki RG Sports 2002 pada harga RM 140k.

Menurut pemiliknya, Yamaha 125ZR 2013 itu belum pernah diisi petrol, bermakna ianya tidak pernah ditunggang. Keadaannya sama seperti asal 100 peratus, dan telah dijaga dengan baik sebelum ini. Model tersebut mungkin berasal dari Malaysia, kerana Cuong sebelum ini telah banyak membeli Yamaha 125ZR versi NOS dari pasaran Malaysia.

Di pasaran Malaysia, harga jualan sebuah model Yamaha 125ZR versi NOS baru-baru ini ditetapkan sebanyak RM 36,800.00. Harga tersebut dijangka akan terus meningkat selepas ini. Suatu masa dahulu, generasi kedua Yamaha 125ZR keluaran tahun 2003 di pasaran Malaysia, dijual pada harga serendah hanya RM 6,617.01 (On The Road).

Sumber : Motosaigon.vn