Untuk musim 2021, Lexmoto di pasaran UK kini menawarkan model sport bike kompak Lexmoto LXS 125 2021, yang kini dilengkapi enjin patuh piawaian emisi Euro 5. Model tersebut boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik iaitu Matt Grey / Fluro Yellow dan Black / Blue. Harga jualannya ditetapkan sebanyak £ 2,699.99 (RM 15,838.91).
Lexmoto LXS 125 berasal daripada model Taro GP-2 125cc buatan syarikat Zhejiang Chuangtai Motorcycle Co., LTD dari China, atau lebih dikenali sebagai Taro Motorcycle. Antara kelebihan model ini ialah sistem brek cakera depannya didatangkan berkembar, manakala sistem ekzosnya tampil kompak dan kemas, dipasangkan di bawah pelana.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model tersebut termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, lengan ayun belakang yang sporty dan brek cakera belakang. Oleh kerana Lexmoto LXS 125 ini sebuah model kompak, saiz tayar depan dan belakangnya ialah 110/70-16 dan 140/70-16, yang menyumbang ketinggian pelana kepada 790 mm.
Di bahagian enjin, ianya dikuasakan enjin bersesaran 125cc (single-cylinder, 4-stroke, water-cooled, EFI) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasanya mencapai 13.8hp @ 8,750rpm, dengan kelajuan maksimum 110 km/j. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 10 liter, dan berat motosikal hanya 155 kg.