Model sport bike terbaharu Honda CBR150R 2021 telah dilancarkan dengan rasminya di pasaran Indonesia pada bulan Januari 2021 yang lalu. Model tersebut kemudiannya dilancarkan pula di pasaran Filipina, pada April 2021 yang lepas. Selepas ini, pasaran manakah pula yang akan menerima pelancaran model tersebut? Adakah Malaysia?
Kali terakhir Honda CBR150R dilancarkan di pasaran Malaysia ialah bagi model tahun 2008 – 2009, yang tampil dengan reka bentuk langsing dan agak kurus. Model tersebut kurang mendapat sambutan, dan sejak itu Boon Siew Honda tidak lagi menawarkan generasi baharu model tersebut yang dijual di pasaran Indonesia, Thailand dan Filipina.
Kini dengan pelancaran Honda CBR150R 2021 yang tampil lebih sporty, lebih moden dan lebih canggih, adakah Boon Siew Honda akan kembali melancarkannya di pasaran Malaysia? Berdasarkan maklumat terkini daripada beberapa sumber, dijangkakan Boon Siew Honda akan melancarkan model tersebut di pasaran Malaysia, tidak lama lagi.
Apabila dilancarkan nanti, Honda CBR150R 2021 akan bersaing dengan model-model seperti Yamaha YZF-R15 dan GPX Demon GR200R. Dengan reka bentuk yang sporty, dilengkapi fork depan USD, panel meter digital sepenuhnya, sistem lampu LED, enjin 150cc DOHC dan transmisi 6-kelajuan dengan A & S, ianya pasti mendapat sambutan.