Honda RS125 2021 di pasaran Filipina diperkenalkan dengan kemaskini warna terbaharu

Pada dua hari yang lepas, Honda Philippines, Inc. (HPI) telah memperkenalkan model Honda RS125 2021 untuk pasaran Filipina, yang kini telah menerima kemaskini warna dan jalur grafik terbaharu. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik dan sporty iaitu Matte Axis Gray Metallic, Pearl Nightfall Blue dan Victory Red.

Harga yang ditawarkan untuk Honda RS125 2021 di pasaran Filipina adalah sebanyak Php. 73,400.00, bersamaan nilai RM 6,327.51 mengikut kadar semasa. Model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 125cc (4-stroke, air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, seterusnya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan jenis ‘rotary’.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 9.54hp @ 7,500rpm dengan jumlah tork maksimum 9.55Nm @ 6,500rpm. Menurut HPI, enjin yang patuh piawaian emisi Euro 3 itu menawarkan tahap penggunaan api yang cemerlang sehingga 67.5 km/l. Keputusan yang dicapai itu berdasarkan metod ujian dari World Motorcycle Test Cycle (WMTC).

Spesifikasi dan ciri-ciri yang melengkapi Honda RS125 2021 antaranya ialah fork depan jenis teleskopik, penyerap hentak belakang jenis berkembar, sistem brek depan cakera, brek belakang jenis dram, tangki bahan api 3.9 liter, panel meter dengan rekaan yang menarik, ruang barangan peribadi di bawah pelana dan berat keseluruhan 104 kg.