Kira-kira hampir setahun yang lalu, hasil pemantauan yang dilakukan sendiri oleh Arena Motosikal mendapati harga jualan model Yamaha 125ZR versi New Old Stock (NOS) di pasaran Malaysia berada dalam lingkungan antara RM 14k sehingga RM 20k. Selepas itu harga untuk model tersebut didapati telah meningkat sehingga mencapai RM 25k.
Harga Yamaha 125ZR versi NOS di pasaran Malaysia pada ketika ini mungkin berbeza, jika masih ada yang ditawarkan oleh mana-mana kedai atau individu yang memiliknya. Namun yang pasti harga jualannya tidak akan turun semula, sebaliknya akan meningkat ke paras yang lebih tinggi. Oleh itu berapakah harga terkini Yamaha 125ZR versi NOS?
Berdasarkan pemerhatian di dalam laman jual beli popular Mudah.my, terdapat dua unit Yamaha 125ZR Movistar MotoGP Edition versi NOS yang masih ditawarkan di pasaran tempatan pada ketika ini. Namun harga yang ditawarkan itu pastinya akan mengejutkan ramai peminat model tersebut, kerana ianya kini telah menjangkau sehingga RM 36.8k.
Harga yang ditetapkan itu sememangnya sangat tinggi, jauh berbeza berbanding harga yang ditawarkan pada beberapa tahun lepas, antara RM 10k sehingga RM 14k sahaja. Namun itulah harga yang perlu dibayar oleh peminat tegar atau para pengumpul koleksi yang tahu nilai sebenar model dua lejang bertaraf legenda yang kini bertaraf ‘rare’ itu.