SM Sport 110R 2021 dilancarkan dengan kemaskini warna dan grafik terbaharu, harga jualan asas RM 4,018.00

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. (MForce) hari ini dengan rasminya melancarkan model SM Sport 110R 2021 untuk pasaran Malaysia. Model kapcai yang bergaya sporty itu kini telah menerima kemaskini warna dan jalur grafik terbaharu yang lebih segar, seterusnya tampil dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Merah, Biru dan juga Hitam.

Harga jualan asas SM Sport 110R 2021 telah ditetapkan sebanyak RM 4,018.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), serta didatangkan tempoh jaminan dari pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km jarak perjalanan. Selain itu setiap pembeli turut ditawarkan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce.

SM Sport 110R 2021 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 109cc yang dilengkapi sistem dua injap dan sistem penyejukan udara. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan jenis berputar (rotary gear) yang lancar, dan menawarkan prestasi maksimum sehingga 6.04hp @ 5,500rpm dengan tork puncak 7.0Nm @ 5,000rpm.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi model kapcai SM Sport 110R 2021 ini ialah tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4 liter, suis Fuel Saving untuk penjimatan bahan api yang lebih optimum, ruang simpanan seluas 10 liter di bawah tempat duduk, port pengecas USB dan lampu isyarat depan dan belakang LED dengan lampu DRL.

Untuk pengendalian yang lebih baik dan tunggangan yang lebih selesa, SM Sport 110R 2021 dilengkapi fork depan jenis teleskopik dan suspensi belakang berkembar daripada Kayaba (KYB). Untuk tahap keselamatan yang lebih baik pula, ianya dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan, yang lengkap dengan kaliper brek dua piston.

Model kapcai tersebut seterusnya dilengkapi sepasang tayar tanpa tiub yang berukuran 70/90-17 di bahagian depan dan 80/90-17 di bahagian belakang, yang membalut kemas rim roda dengan penampilan sporty dan bergaya. Akhir sekali ketinggian pelana berada pada paras 770 mm, manakala berat keseluruhan motosikal hanya 105 kg sahaja.