Gymotor menawarkan model klon BMW S1000RR dengan enjin 250cc di pasaran China

Salah sebuah model motosikal berkuasa tinggi yang seringkali menjadi inspirasi kepada pengeluar motosikal di negara China ialah BMW S1000RR. Sebelum ini model tersebut telah dikeluarkan dalam versi klon oleh syarikat Wuxi Feihao International Trade Co., Ltd., dan model tersebut diberi nama Moto S450RR dengan enjin dari 150cc ke 400cc.

Terkini sebuah lagi syarikat dari China iaitu Chongqing Gymotor Industry Co., Ltd. turut tidak ketinggalan mengeluarkan model klon BMW S1000RR, dalam dua versi enjin iaitu 250cc dan 400cc. Bagi model 250cc (1-cylinder, 4-stroke, air-cool, with balancer), ianya dilengkapi enjin dengan sistem karburetor dan dipadankan transmisi enam kelajuan.

Enjin tersebut boleh dikatakan agak ketinggalan, namun masih mampu mengeluarkan kuasa maksimum 16.8hp @ 7,000rpm dengan tork maksimum 16.5Nm @ 5,500rpm. Berat motosikal yang mempunyai kapasiti tangki bahan api maksimum 17 liter itu ialah 132 kg, manakala ketinggian tempat duduknya berada pada paras hanya 770 mm.

Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan jenis teleskopik, dan digandingkan dengan suspensi belakang monoshock. Sistem brek cakera serba lengkap di kedua-dua bahagian rodanya, yang mempunyai ukuran roda 110/70-17 di bahagian depan dan 140/70-17 di bahagian belakang. Panel meter model berkenaan pula ialah digital TFT.

Model klon BMW S1000RR dengan enjin 250cc buatan Gymotor ini telah menawarkan penampilan sebuah model berkuasa tinggi yang sporty, namun dengan enjin sederhana sahaja. Harganya dipercayai berpatutan dan dikhususkan untuk pasaran negara-negara membangun. Model seperti ini pastinya tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia.