Menurut laporan daripada media antarabangsa baru-baru ini, Kawasaki dikhabarkan sedang membangunkan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R yang bakal dilengkapi enjin bersesaran 400cc dengan empat silinder. Model tersebut boleh dikatakan sebagai kesinambungan kepada model Kawasaki Ninja ZX-25R yang dilancarkan sebelum ini.
Setakat ini pihak Kawasaki belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan laporan pembangunan model Ninja ZX-4R, namun ianya dipercayai benar dan dijangka akan menjadi kenyataan. Tambahan pula khabar angin mengenai pembangunan model tersebut sebenarnya datang daripada imej paten model terbaharu Kawasaki di Jepun.
Bagaimanapun, Kawasaki Ninja ZX-4R mungkin tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, memandangkan model Ninja ZX-25R sehingga kini masih belum dilancarkan. Antara sebab kenapa Ninja ZX-25R dan Ninja ZX-4R tidak akan dilancarkan di pasaran Malaysia ialah mungkin kerana harga jualan yang agak tinggi dan tidak lagi kompetetif.
Namun begitu, harapan untuk melihat pelancaran Kawasaki Ninja ZX-25R, dan mungkin juga Ninja ZX-4R, jika ianya benar-benar wujud, masih ada seandainya pihak Kawasaki Motor Malaysia pada masa akan datang berani mengambil cabaran. Harga yang tinggi namun berbaloi dengan apa yang ditawarkan, tetap mempunyai peluang untuk dijual.