Yamaha YZF-R7 2022 serba baharu rasmi diperkenalkan di pasaran Eropah kelmarin. Model tersebut didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Icon Blue dan Yamaha Black. Menurut Yamaha, YZF-R7 akan berada di pasaran Eropah mulai bulan Oktober 2021 akan datang, sebagai model tahun 2022. Harganya pula dikatakan sangat berpatutan.
Paling menjadi tumpuan ialah di bahagian enjinnya. Dibangunkan daripada model asal Yamaha MT-07 2021, Yamaha YZF-R7 turut dilengkapi enjin CP2 dalam sesaran 689cc (2-Cylinder, Liquid-cooled, EURO5, 4-stroke, 4-valves, DOHC). Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm.
Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper (A&S). Teknologi Quick Shift System (QSS) pula boleh didapati sebagai kelengkapan pilihan yang menjanjikan daya pecutan lebih pantas. Casis yang ringan seterusnya menyumbang kepada pengendalian yang responsif dan lincah.
Di bahagian suspensi, Yamaha YZF-R7 menggunakan fork depan jenis upside-down 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya. Suspensi belakang monocross rekaan baharu pula menawarkan karakter yang sesuai sama ada untuk tunggangan di jalan raya biasa atau pun di litar, dengan ciri preload dan rebound yang mudah dilaraskan dengan pantas.
Sebagai sebuah model sport yang berkuasa, Yamaha YZF-R7 turut didatangkan posisi tempat duduk sebuah model supersport sejati, di samping hadir dengan ciri-ciri seperti handlebar jenis clip-on dan rekaan bahagian tempat duduk belakang yang optimum dan aerodinamik. Tempat duduk solo turut ditawarkan melalui pilihan aksesori asli Yamaha.
Sistem brek yang mantap amat diperlukan. Oleh itu Yamaha YZF-R7 dilengkapi sistem brek cakera berkembar 298 mm di bahagian depannya, yang menampilkan kaliper brek 4-piston radial-mount, lengkap dengan radial master cylinder daripada Brembo. Sistem brek cakera tunggal di bahagian roda belakang pula hadir dengan diameter 245 mm.
Yamaha YZF-R7 2022 seterusnya dilengkapi tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 120/70-R17 dan 180/55-R17, yang membalut sepasang rim aloi yang ringan (lightweight 10-spoke cast alloy wheels). Tempat duduknya mempunyai ketinggian 835 mm, berat 188 kg (wet weight), dan tangki bahan api dengan kapasiti penuh 13 liter.
Reka bentuk keseluruhan Yamaha YZF-R7 kental dengan gaya rekaan dalam keluarga R-Series, bukan sekadar tampil sporty dan moden, malah agresif. Muka depannya hadir dengan lampu utama LED tunggal, yang diapit oleh dua lampu posisi LED di bahagian kiri dan kanannya. Sistem lampu pada model berkenaan merupakan LED sepenuhnya.
Beralih ke bahagian kokpitnya yang kompak, ianya menawarkan panel instrumen yang direka baharu sepenuhnya, dengan paparan skrin LED yang terang, jelas dan lengkap dengan informasi yang diperlukan oleh penunggang. Ciri-cirinya termasuklah penunjuk aras gear, lampu penunjuk penukaran gear (shift light) dan penunjuk sistem QSS.
Berkenaan harga, Yamaha YZF-R7 2022 telah mempunyai harga rasmi untuk pasaran USA, iaitu bermula dari $8,999.00, bersamaan RM 37,125.37. Jualannya untuk pasaran USA akan bermula dari bulan Jun 2021. Sebagai perbandingan, harga Yamaha YZF-R6 2020 di pasaran USA bermula dari $12,199.00, bersamaan RM 50,326.97.