Yamaha XSR125 2021 merupakan model terbaharu keluaran Yamaha Motor Europe di dalam segmen Yamaha Sport Heritage, diperkenalkan secara rasmi pada tarikh 11 Mei 2021 baru-baru ini. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Redline, Impact Yellow dan Tech Black, dan dikuasakan enjin 125cc VVA yang bertaraf Euro 5.
Di rantau Eropah, pasaran UK antara yang telah menerima kehadiran model tersebut, dengan harga jualannya ditetapkan bermula dari £4,450.00, bersamaan RM 25,775.30 mengikut kadar semasa. Harga tersebut boleh dikatakan agak tinggi, memandangkan harga untuk model Yamaha XSR700 bermula dari £7,702.00 (RM 44,611.54) sahaja.
Di pasaran ASEAN, Yamaha XSR155 ditawarkan pada harga bermula dari hanya RM 10k sehingga RM 12k di pasaran Indonesia dan Thailand. Tidak pasti kenapa harga Yamaha XSR125 2021 di pasaran UK terlalu tinggi, mungkin kerana ianya diletakkan sebagai sebuah model premium dengan pelbagai komponen yang berkualiti tinggi.