Kawasaki Ninja 400 2021 di pasaran China terima pilihan dua skim warna terbaharu

Sejak pertengahan tahun lepas, Kawasaki Ninja 400 2021 mula menerima kemaskini skim warna terbaharu di beberapa pasaran global. Menariknya baru-baru ini di pasaran China, model sport bike itu telah menerima pilihan dua skim warna terbaharu yang tidak kurang menariknya, dan belum pernah dilihat di mana-mana pasaran lain sebelum ini.

Dua pilihan warna terbaharu itu ialah Metal Twilight Blue dan Metal Deep Gray, sebagai tambahan kepada pilihan warna sedia ada yang lain. Penampilan kedua-dua warna itu kelihatan segar dan moden, dijangka akan turut diperkenalkan di pasaran lain selepas ini. Untuk pasaran China, Ninja 400 ditawarkan pada harga ¥49,800 sehingga ¥50,800.

Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang melengkapi model berkenaan masih lagi sama dan tiada sebarang perubahan. Kawasaki Ninja 400 2021 dilengkapi enjin bersesaran 399cc dua silinder dengan transmisi enam kelajuan, dan dibantu oleh sistem Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa mencapai 46PS @ 9,600rpm dengan tork 37.2Nm @ 8,000rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model bergaya sporty itu termasuklah panel digital LCD dengan takometer analog, lampu depan dan lampu belakang jenis LED, fork depan berdiameter 41 mm, sistem brek cakera dengan ABS daripada Nissin, ketinggian tempat duduk 785 mm, kapasiti tangki bahan api 14 liter dan berat motosikal 168 kg.