Di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu, Boon Siew Honda pernah menawarkan model kapcai Honda Wave 100 yang tampil dengan reka bentuk sporty dan harga berpatutan. Di pasaran Vietnam pada ketika ini, model tersebut masih lagi dijual, namun dilengkapi enjin bersesaran 110cc dan dikenali dengan nama Honda Wave Alpha 110cc.
Reka bentuk kapcai Honda Wave merupakan antara model yang seringkali ditiru oleh pengeluar motosikal dari negara China, mungkin kerana ianya sangat popular di rantau Asia Tenggara. Salah satu model klon Honda Wave yang masih ditawarkan di pasaran Thailand pada ketika ini ialah Zongshen Ryuka Save II S yang dilengkapi enjin 110cc.
Enjin empat lejang itu dilengkapi sistem penyejukan udara, sistem penyampaian bahan api karburetor, sistem penghidup tendang dan eletrik, seterusnya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Untuk pemberhentian yang mantap, ianya dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan sistem brek jenis dram di bahagian belakang.
Menjadikannya kelihatan lebih moden ialah panel meter digital sporty dan sistem kunci anti-kecurian yang lebih selamat. Zongshen Ryuka Save II S menggunakan tayar dalam siri 70/90-17 di bahagian depan dan 80/90-17 di bahagian belakang, yang dipasangkan pada rim aloi lima bilah. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh 4.2 liter.
Untuk pasaran Thailand, harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak THB 34,900, bersamaan RM 4,620.88. Pilihan warna yang tersedia ialah empat kesemuanya iaitu Black, Blue, Red dan White. Apa yang menarik ialah kualiti pemasangan model kapcai Zongshen Ryuka Save II S yang bertaraf klon ini kelihatan begitu kemas sekali.