Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 merupakan salah sebuah model sport bike yang menjadi idaman ramai peminat motosikal di seluruh dunia. Namun begitu model yang dilengkapi enjin 250cc empat silinder itu hanya ditawarkan secara rasmi di beberapa buah pasaran tertentu, seperti di pasaran Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan juga Jepun.
Untuk pasaran Malaysia, nampaknya harapan hanya tinggal harapan sahaja. Penantian selama hampir setahun sejak bulan Julai 2020 yang lepas masih belum membuahkan sebarang hasil. Antara sebab kenapa model tersebut dikatakan tidak akan ditawarkan di pasaran Malaysia ialah kerana harganya yang terlalu tinggi, dalam lingkungan RM 35k.
Sebenarnya, ianya juga memberikan makna bahawa kuasa membeli peminat motosikal tempatan adalah masih dalam kadar yang rendah. Untuk sesebuah model dengan enjin 250cc yang dijual pada harga RM 35k, sudah tentu tidak ramai yang sanggup membeli. Mungkin Kawasaki Motors Malaysia sangat arif dengan fakta yang telah disebutkan ini.
Bagaimanapun apa yang menariknya ialah Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 ini turut dijual di pasaran Mauritius, sebuah negara kepulauan dengan jumlah penduduk sekitar hanya 1.3 juta penduduk sahaja. Harga yang ditawarkan pula bukan calang-calang, berjumlah Rs 365,000, yang mana ianya bersamaan nilai RM 37,188.59 mengikut kadar semasa.
Tidak pasti berapakah jumlah unit Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 yang dibawa masuk ke pasaran Mauritius, yang penting peminat motosikal di negara tersebut kini mempunyai peluang untuk memilikinya. Kembali ke pasaran Malaysia, mungkin akhirnya Kawasaki Ninja ZX-25R akan dilancarkan juga suatu hari nanti. Mungkinkah pada tahun depan?
Sumber : Mycar.mu