Benelli Tornado 302R 2021 – adakah ianya akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia?

Benelli dalam bulan April 2021 yang lepas secara rasminya telah melancarkan model sport bike terbaharu Benelli Tornado 302R 2021. Buat masa ini model sporty itu hanya ditawarkan di pasaran China, dan selepas itu ianya dijangka akan masuk ke pasaran global yang lain. Untuk pasaran Malaysia, adakah model ini akan turut dilancarkan?

Benelli Tornado 302R terbaharu ini merupakan versi facelift kepada model Benelli 302R sebelumnya, yang kini tampil dengan reka bentuk terkini yang kelihatan lebih menarik, lebih sporty, moden dan juga agresif. Enjinnya bagaimanapun masih kekal sama seperti model terdahulu, namun beratnya berkurangan daripada 204 kg kepada hanya 182 kg.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik yang ditawarkan termasuklah fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, tangki bahan api 14 liter, panel instrumen digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya, ketinggian tempat duduk hanya 785 mm dan empat pilihan skim warna yang menarik.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi hasil daripada ujian yang dijalankan di litar di negara China baru-baru ini, Benelli Tornado 302R 2021 dikatakan menawarkan sensasi tunggangan yang mantap pada kelajuan yang memuaskan. Untuk pasaran Malaysia, model ini mempunyai potensi untuk menggantikan model semasa Benelli 302R 2020.