Yamaha Sniper 155 2021 dan Yamaha Sniper 155R 2021 kini di pasaran Filipina, harga bermula dari RM 9,888.94

Yamaha Sniper 155 2021 dan Yamaha Sniper 155R 2021 kini dikhabarkan bakal berada di pasaran Filipina mulai bulan Mei 2021. Maklumat berkenaan telah diperolehi melalui surat rasmi yang dikeluarkan oleh Yamaha Motor Philippines Inc. kepada wakil penjual di negara tersebut, seperti mana yang tular di media sosial beberapa hari yang lepas.

Menurut maklumat yang tertera di dalam surat tersebut, Yamaha Sniper 155 2021 untuk pasaran Filipina merupakan versi Standard, dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Black Raven, Yellow Hornet dan Race Blu. Bagi model Yamaha Sniper 155R 2021 pula, ianya merupakan versi Premium, hadir dengan pilihan warna tunggal Matte Titan.

Yamaha Sniper 155 2021 ditawarkan pada harga jualan PHP 114,900, bersamaan nilai RM 9,888.94 mengikut kadar tukaran semasa. Bagi model Yamaha Sniper 155R 2021, harganya ialah sebanyak PHP 120,900, bersamaan nilai RM 10,405.34 mengikut kadar semasa. Kedua-dua harga tersebut boleh dikatakan dalam kadar yang berpatutan.

Setakat ini laman sesawang rasmi Yamaha Motor Philippines Inc. didapati masih belum memaparkan model terbaharu Yamaha Sniper 155 dan Yamaha Sniper 155R. Oleh itu maklumat selanjutnya yang lebih tepat mengenai spesifikasi sebenar yang ditawarkan dan perbezaan yang ada di antara kedua-dua versi tersebut masih belum diperolehi.

Dengan pelancaran rasmi Yamaha Sniper 155 2021 dan Yamaha Sniper 155R 2021 di pasaran Filipina, bermakna negara tersebut menjadi pasaran ketiga yang menerima model moped sporty itu selepas pasaran Vietnam dan Malaysia. Selepas ini pasti ramai pemilik Yamaha Y16ZR 2021 yang akan menukar cover set baru Yamaha Sniper 155.

Sumber : Yamaha Sniper 155R Philippines FB