Taro Imola 2021 tampil sporty dengan enjin 125cc dan 150cc

Zhejiang Chuangtai Motorcycle Co., Ltd. (TARO) dari China kini menawarkan sebuah model skuter terbaharu yang tampil sporty dan kelihatan moden, dikenali dengan nama Taro Imola 2021. Model tersebut boleh didapati dengan dua pilihan kapasiti enjin iaitu 125cc dan 150cc, dan mempunyai perbezaan minimum di antara kedua-dua versi itu.

Untuk versi 125cc, ianya dilengkapi enjin bersesaran 124.6cc (OHC, air-cooled, single-cylinder, 4 stroke), dengan kuasa maksimum 10hp @ 8,000rpm dan tork puncak 10Nm @ 6,000rpm. Versi 149.6cc pula menghasilkan kuasa maksimum 11.5hp @ 8,000rpm dengan tork 12.1Nm @ 6,000rpm. Sistem transmisi kedua-duanya ialah automatik CVT.

Sistem pengurusan bahan api bagi versi 125cc menggunakan teknologi EFI, manakala versi 150cc masih lagi menggunakan teknologi CDI. Di bahagian suspensi, Taro Imola dilengkapi fork depan teleskopik 30mm dan penyerap hentak jenis tunggal di bahagian belakang. Sistem brek lengkap dengan cakera 220mm (depan) dan 195mm (belakang).

Menurut maklumat yang dipaparkan oleh Taro, sistem brek ABS merupakan pilihan bagi kedua-dua versi 125cc dan 150cc, dan hanya akan melengkapi brek cakera di bahagian roda depan. Roda depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/60-13 dan 130/60-13, seterusnya menyumbang ketinggian tempat duduk kepada paras hanya 770 mm.

Taro Imola hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter. Berat untuk versi 125cc ialah 138 kg, sementara versi 150cc mempunyai berat sebanyak 137 kg (curb weight). Melengkapkan lagi penampilan dan spesifikasi skuter tersebut ialah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter gabungan digital dan lampu belakang unik berbentuk bulat.