Untuk pasaran Indonesia, Yamaha hari ini memperkenalkan model Yamaha XSR155 2021. Tampil dengan gaya retro yang menawan, versi terbaharu model tersebut kini didatangkan pilihan warna baharu yang lebih menawan iaitu Matte Green Authentic, di samping dua pilihan warna terdahulu Matte Silver Premium dan Matte Black Elegance.
Yamaha XSR155 2021 dikuasakan enjin dalam sesaran 155cc (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA), dan dipadankan transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch untuk corak tunggangan yang lebih mudah. Jumlah kuasa yang dihasilkan enjin tersebut ialah 19hp @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Yamaha XSR155 seterusnya dilengkapi tangki bahan api maksimum 10 liter, kerangka deltabox, lengan ayun belakang aluminium, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang, sepasang tayar jenis dual-purpose untuk pelbagai jenis permukaan jalan, serta ketinggian tempat duduk pada paras 810 mm.
Selain itu, model tersebut turut hadir dengan ciri-ciri menarik seperti panel meter digital LCD sepenuhnya, rekaan lampu depan dan belakang bergaya retro yang berbentuk bulat, rekaan tempat duduk dan tangki bahan api yang bergaya klasik dan evergreen, lampu depan dan belakang jenis LED, dan berat motosikal hanya 134 kg (curb weight).
Harga jualan yang ditawarkan untuk Yamaha XSR155 2021 ini ialah Rp. 36,580,000, bersamaan RM 10,540.65. Untuk pasaran Malaysia, buat masa ini belum ada sebarang maklumat mengenai pelancaran model Yamaha XSR155. Namun begitu berdasarkan ramalan awal, dijangkakan model ini akan turut dilancarkan oleh HLYM tidak lama lagi.