Jentera Super Sport kelas pertengahan Honda CBR600RR 2021 generasi paling terkini telah diperkenalkan secara rasmi di pasaran Jepun pada bulan September 2020 yang lalu. Model tersebut kemudiannya dilancarkan di beberapa buah negara lain, antaranya termasuklah di pasaran Malaysia, dengan harga jualan asas sebanyak RM 98,888.00.
Untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat (USA), Honda CBR600RR 2021 generasi baharu bagaimanapun tidak lagi ditawarkan. Ini kerana sistem enjin dan ekzosnya yang kini tidak lagi mampu memenuhi piawaian Euro 5 yang semakin ketat. Namun apa yang menariknya ialah pasaran USA ketika ini masih menawarkan Honda CBR600RR 2021.
Jika anda berasa keliru, sebenarnya model Honda CBR600RR 2021 yang ditawarkan di pasaran USA pada ketika ini masih lagi model lama, yang diperkenalkan sejak tahun 2013 yang lalu. Oleh kerana ianya merupakan model lama, ianya masih lagi boleh dijual seperti biasa walaupun hakikatnya enjinnya tidak lagi memenuhi piawaian emisi terkini.
Tambah menarik lagi dan pastinya mengujakan peminatnya, Honda CBR600RR 2021 di pasaran USA turut diperkenalkan dalam pilihan warna terkini Grand Prix Red (Tricolor) yang kelihatan begitu sporty dan moden. Sekali pandang, penampilan terbaharu model tersebut tidak kalah dengan penampilan Honda CBR600RR 2021 generasi terbaharu.
Harga yang ditawarkan pula boleh dikatakan berpatutan, sekurang-kurangnya dengan melihat nilai USD yang lebih tinggi berbanding nilai Ringgit Malaysia. Untuk pasaran USA, Honda CBR600RR 2021 dalam pilihan warna tunggal Tricolor ditawarkan dalam dua versi Standard dan ABS, dengan harga masing-masing $11,899 dan $12,899.
Sedikit maklumat berkenaan sistem penjana kuasanya, ianya dilengkapi enjin 599cc (Liquid-Cooled Inline Four-Cylinder, DOHC; four valves per cylinder) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa dan tork maksimum tidak dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi Honda USA, namun sudah tentu ianya berprestasi tinggi.
Untuk anda yang mahu mendapatkan maklumat berkenaan sejarah Honda CBR600RR, anda boleh layari artikel terdahulu melalui pautan berikut : Sejarah ringkas dan galeri Honda CBR600RR (2003 – 2020). Honda CBR600RR 2021 di pasaran USA mungkin sudah ketinggalan, namun ianya tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri.