Untuk pasaran Indonesia, Yamaha hari ini memperkenalkan model naked Yamaha MT-15 2021 yang kini didatangkan dengan dua pilihan warna dan jalur grafik baharu yang kelihatan lebih segar dan sporty, iaitu Metallic Dark Grey dan Metallic Blue. Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak Rp. 37,130,000, bersamaan RM 10,494.37.
Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri lain pada model tersebut kekal sama seperti mana pada model tahun sebelumnya. Yamaha MT-15 2021 dikuasakan enjin 155cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve, VVA) dengan transmisi 6-kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, dengan kuasa maksimum 19hp @ 10,000rpm dan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model naked tersebut ialah kerangka Deltabox, lengan ayun aluminium, panel meter digital LCD, lampu depan dan belakang LED, fork depan jenis terbalik, brek cakera depan 282 mm, tayar belakang selebar 140 mm, tinggi tempat duduk 810 mm, tangki bahan api 10.4 liter dan berat keseluruhan hanya 133 kg.
Selain daripada pasaran Indonesia, pasaran Thailand dan Vietnam juga telah menerima pilihan dua warna terbaharu itu, termasuk pasaran Filipina yang turut menerima pilihan warna Metallic Dark Grey. Untuk pasaran Malaysia pula, kedua-dua pilihan warna yang menarik itu dijangka akan turut diperkenalkan tidak lama lagi, sama-sama kita tunggu.