Salah sebuah model motosikal kapcai yang ditawarkan di pasaran Greece ialah SYM VF125, yang mula diperkenalkan sejak tahun 2019 yang lalu. Model bergaya sporty itu dilengkapi enjin bersesaran 123cc dengan sistem penyejuk jenis udara, sistem suntikan bahan api EFI daripada KEIHIN dan dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.
Bagi model tahun 2020, SYM VF125 menawarkan enjin yang memenuhi piawaian emisi Euro 4, dengan keluaran kuasa maksimum 8.5PS @ 8,000rpm dan tork puncak 8.7Nm @ 5,500rpm. Tahap penggunaan bahan api untuk model tersebut pada ketika itu berada pada paras 1.87 liter / 100 km, yang mana ianya boleh dikatakan begitu menjimatkan.
Bagaimanapun untuk model tahun 2021, SYM VF125 telah pun dilengkapi enjin yang lebih bersih dan lebih cekap, yang kini diiktiraf patuh piawaian Euro 5. Enjin berkenaan kini menawarkan kuasa maksimum 9.7PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 8.7Nm @ 7,000rpm, dengan tahap penggunaan petrol serendah 1.68 liter / 100 km (WMTC3).
Dengan pencapaian tersebut, SYM VF125 2021 kini menjadi antara model kapcai di pasaran Eropah yang menawarkan enjin yang lebih bersih dan prestasi pada tahap yang cukup memuaskan. Spesifikasi teknikal lain masih kekal sama seperti mana model tahun sebelumnya, anda boleh membacanya melalui artikel terdahulu di pautan ini.
Untuk pasaran Greece, harga jualan yang ditawarkan untuk SYM VF125 2021 adalah sebanyak € 1,995, bersamaan RM 9,714.46 mengikut kadar mata wang semasa. Pada masa akan datang, diharapkan model-model kapcai dan moped yang dijual di pasaran Malaysia akan turut memenuhi piawaian emisi Euro 5 yang lebih mesra alam sekitar.