Suzuki Gixxer 250 2020 merupakan sebuah model motosikal dalam segmen naked, diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran domestik Jepun pada tahun lepas. Boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik, harga yang ditawarkan bermula dari 448,800 Yen, bersamaan nilai RM 17,329.14 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Suzuki Gixxer 250 dilengkapi enjin bersesaran 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan sistem penyejukan minyak, atau lebih dikenali sebagai Suzuki Oil Cooling System (SOCS). Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dan tork maksimum 22Nm @ 7,300rpm.
Untuk penghidupan enjin yang mudah, Suzuki Gixxer 250 dilengkapi butang penghidup Suzuki Easy Start System. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 12 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Pengendalian yang terkawal disumbangkan oleh fork depan 41 mm dan suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban.
Melengkapkan ciri keselamatan Suzuki Gixxer 250 ialah sistem brek cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS dua saluran. Rim roda yang sporty dibalut tayar dalam siri 110/70-R17 untuk bahagian depan dan 150/60R17 untuk bahagian belakang. Suzuki Gixxer 250 turut dilengkapi fender belakang yang terpasang pada lengan ayun.
Suzuki Gixxer 250 didatangkan panel meter digital LCD dengan pelbagai info penting, lampu depan dan belakang LED, handlebar yang lebih tinggi untuk tunggangan yang lebih tegak dan mudah dikendalikan, penutup di bahagian bawah enjin, tempat duduk dengan ketinggian 800 mm, paip ekzos dengan rekaan berkembar dan berat 154 kg.
Untuk pasaran Jepun, Suzuki Gixxer 250 2020 mempunyai model kembar full fairing iaitu Suzuki Gixxer SF250 2020. Kedua-dua model tersebut mempunyai potensi untuk dilancarkan di pasaran Malaysia pada masa akan datang, namun buat masa ini belum ada sebarang pengesahan rasmi yang meyakinkan daripada pihak Suzuki Malaysia.