Kira-kira lebih setahun yang lalu, dunia motosikal di pasaran ASEAN dikejutkan dengan kehadiran model moped Rusi Flash 150 EFI 2020 yang dilancarkan di pasaran Filipina. Model tersebut tampil unik dan sporty dengan menggabungkan rekaan model popular Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR, serta turut dilengkapi enjin bersesaran 150cc.
Berdasarkan maklumat selanjutnya daripada internet, Rusi Flash 150 EFI sebenarnya merupakan model Yingang Flash 150 buatan syarikat dari China, yang dikenali dengan nama Chongqing Yingang Technology (Group) Co., Ltd. Selain pasaran Filipina, model tersebut nampaknya bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, dijangka tidak lama lagi.
Jangkaan ini adalah berdasarkan gambar spyshot terbaharu model tersebut yang telah dirakamkan baru-baru ini, sedang ditunggang uji di atas jalan raya di Malaysia. Reka bentuknya memang sama seperti model Yingang Flash 150. Cuma persoalannya ialah syarikat manakah yang bakal melancarkan model moped dalam kelas 150cc ini?
Setakat ini syarikat pengeluar motosikal tempatan iaitu Ottimo Technologies Sdn. Bhd. dikatakan bakal melancarkan model tersebut, seperti mana yang diumumkan sebelum ini sewaktu pelancaran model Ottimo Viz 110 pada penghujung tahun 2018 yang lalu. Pelancarannya pula mungkin akan berlangsung pada separuh kedua tahun 2021 ini.
Berdasarkan spesifikasi Yingang Flash 150 ini, ianya dikuasakan enjin 150cc dengan sistem sejukan udara, dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Masih menggunakan sistem penyampaian bahan api jenis karburator, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 11hp (8.2kW) @ 7,000rpm dengan tork maksimum 12Nm @ 5,500rpm.
Untuk pasaran Malaysia nanti, mungkin Ottimo Technologies akan menaik taraf model tersebut agar ianya mampu bersaing dengan model-model lain, terutamanya dalam meningkatkan prestasi enjinnya agar lebih berkuasa. Jika harga yang ditawarkan nanti adalah berpatutan, tidak mustahil ianya akan berjaya menarik minat ramai pembeli.
Sumber gambar spyshot : Pandulaju.com.my