Baru saja muncul di pasaran Vietnam kira-kira hampir sebulan yang lalu, model popular Yamaha Exciter 155 VVA 2021 kini telah mengalami pelbagai versi modifikasi dan naik taraf istimewa. Semuanya bergantung kepada minat dan citarasa pemiliknya, termasuk kemampuan dari aspek kewangan yang pastinya menelan kos yang sangat tinggi.
Contohnya salah seorang pemilik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru ini yang telah menyiapkan versi naik tarafnya sendiri. Antara yang dilakukan termasuklah menggantikan lampu depan original yang mencipta kontroversi tersendiri, dengan lampu depan milik model sebelumnya iaitu Yamaha Exciter 150.
Bahagian kepala depan boleh dikatakan telah berubah sepenuhnya, kecuali skrin panel meter digital yang masih dikekalkan. Komponen-komponen daripada jenama Brembo, Kohken dan Domino, serta diambil daripada motosikal Ducati, telah melengkapkan tuil brek dan klac, serta sistem pendikit bahan api untuk daya pecutan yang lebih pantas.
Turut melengkapi Yamaha Exciter 155 VVA tersebut ialah stereng damper daripada Ohlins, fork depan daripada LCM dengan prestasi damping yang lebih baik, penyerap hentak belakang daripada Nitron, sistem brek dengan komponen Brembo di bahagian depan dan belakang, serta sepasang rim Rapido berwarna oren, asal dari Malaysia.
Lengan ayun turut ditukar kepada jenama Kingdrag, manakala sistem ekzos berjenama Malaysia daripada syarikat Ampang Hoong Motor (AHM) turut digunakan. Walaupun Yamaha Exciter 155 VVA berwarna hitam ini kelihatan lebih garang dengan penampilan terkininya, kuasa enjin masih belum disentuh dan masih kekal dalam keadaan asal.
Dengan penggunaan tayar yang lebih kecil, profail sisi dan ketinggian model tersebut juga telah berubah. Menurut pemiliknya, kos keseluruhan yang telah dibelanjakan untuk mengubahsuai dan menaik taraf motosikalnya itu adalah melebihi 250 juta VND. Nilai tersebut bersamaan RM 43,808.03, dan dijangka akan meningkat lagi selepas ini.
Sumber : Tinmoi.vn