Sejak tahun lepas, sebuah model motosikal terbaharu telah berjaya menarik perhatian ramai di negara asalnya China. Dikenali dengan nama Colove Cobra 321R, model tersebut kini telah diumumkan bakal dilancarkan secara rasmi dalam bulan Mac 2021. Harganya pula dikatakan kurang daripada 25,000 CNY (bersamaan RM 15,587.10).
Salah satu sebab kenapa model Colove Cobra 321R ini dinanti-nantikan ialah kerana spesifikasinya yang boleh dikatakan impresif. Antaranya ialah seperti enjin dua silinder DOHC yang bersesaran 322cc, jumlah kuasa maksimum 40hp dengan tork maksimum 29.6Nm, serta kelajuan maksimumnya yang didakwa mencecah sehingga 180 km/j.
Menurut pengeluarnya lagi, pecutan awal Colove Cobra 321R bermula dari sifar ke 100 km hanya mengambil masa kurang 6 saat, yang turut disumbangkan oleh berat hanya 153 kg. Selain itu Colove Cobra 321R juga tampil menarik dengan gaya rekaan naked, dan dilengkapi lengan ayun belakang jenis sebelah (single-sided swing arm) yang unik.
Ciri-ciri lain yang melengkapi Colove Cobra 321R 2021 termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital, fork depan USD dan suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera tunggal di bahagian roda depan dan belakang dan sistem ekzos sporty. Untuk maklumat lebih lengkap, nantikan pelancarannya pada bulan Mac 2021 akan datang.
Sumber : 163.com, 2smoto.com & jddmoto.com