Di pasaran Vietnam pada ketika ini, Suzuki Raider R150 mungkin agak terpinggir disebabkan populariti tinggi yang diraih oleh dua model terhangat iaitu Honda Winner X dan Yamaha Exciter 155 VVA. Bagaimanapun situasi tersebut mungkin akan berubah tidak lama lagi, dengan pelancaran versi naik taraf terbaharu untuk model berkenaan.
Menurut laporan terkini dari Vietnam, Suzuki dikatakan bakal memperkenalkan model Raider R150 versi naik taraf terbaharu, dengan gaya rekaan dan penampilan terkini yang jauh lebih sporty dan prestasi enjin yang sukar ditandingi. Sejak dilancarkan pada tahun 2016 sehingga kini, Raider R150 tidak pernah dinaik taraf secara signifikan.
Oleh itu masanya sudah tiba untuk Raider R150 menerima naik taraf terbaharu, bukan sahaja untuk ianya terus kekal relevan di pasaran, malah mampu memberikan cabaran yang kuat terhadap Yamaha Exciter 155 VVA dan Honda Winner X. Dikhabarkan Raider R150 versi naik taraf terbaharu ini akan turut dilengkapi dengan sistem brek ABS.
Dengan reka bentuk baharu yang lebih sporty dan mungkin juga ekstrem, enjin yang kekal berkuasa dan tidak mampu ditandingi oleh Yamaha Exciter 155 VVA dan Honda Winner X, serta kelengkapan spesifikasi yang lebih moden dan canggih, Raider R150 dipercayai mempunyai kemampuan untuk merampas takhta sebagai raja jalanan.
Ketika ini Suzuki Raider R150 dilengkapi enjin 150cc DOHC dengan kuasa maksimum 18.5hp, yang mana ianya telah mengatasi kuasa maksimum Yamaha Exciter 155 VVA dengan 17.7hp dan Honda Winner X dengan 15.4hp. Apabila dinaik taraf nanti, jumlah kuasa tersebut mungkin akan bertambah untuk pecutan maksimum yang lebih tinggi.
Setakat ini para peminat Suzuki Raider R150 di pasaran Vietnam, termasuk golongan muda yang meminati dunia motosikal secara amnya, berasa sangat gembira dan teruja dalam menantikan pelancarannya. Pasti menarik untuk melihat pertembungan di antara Raider R150 versi naik taraf terbaharu, Yamaha Exciter 155 VVA dan Honda Winner X.
Sementara itu di pasaran Malaysia, desas-desus mengenai kemunculan semula Suzuki Belang R150 nampaknya masih belum menjadi kenyataan. Mungkin Suzuki Malaysia juga menantikan pelancaran Suzuki Raider R150 versi naik taraf terbaharu di pasaran Vietnam, yang dirasakan mempunyai prospek yang lebih baik untuk pasaran Malaysia.
Sumber : Thethao247.vn