Pada penghujung tahun 2019, Italjet telah membuat pengumuman bahawa mereka akan memperkenalkan kembali model skuter Dragster. Terbukti Italjet tidak bergurau apabila mereka secara rasminya memperkenalkan Dragster serba baharu di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2019 yang berlangsung di Milan, Italy.
Italjet Dragster serba baharu itu masih mengekalkan perwatakannya yang agresif, luar biasa, funky dan apa sahaja yang anda boleh gambarkan, membuatkan model-model skuter moden yang lain kelihatan terpinggir. Tidak perlu penjelasan terlalu terperinci, cukup dengan hanya melihatnya, anda tahu Dragster bukanlah spesis skuter biasa.
Pengeluaran pertama Italjet Dragster sebelum ini bermula pada bulan Mei 2020, dan kemudiannya pada bulan Jun 2020, Italjet memperkenalkan versi Limited Edition yang hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad 499 unit sahaja. Pelancaran rasmi model versi Limited Edition itu dijadualkan pada September 2020, bersama-sama model standard.
Namun begitu pandemik Covid 19 yang kelihatan belum reda sepenuhnya membuatkan tarikh pelancarannya untuk pasaran Eropah dianjak ke tarikh baharu iaitu sekitar suku pertama tahun depan. Jika ianya masuk ke pasaran Malaysia pula, skuter legenda dari Itali ini dipercayai akan mendapat sambutan hangat daripada peminat setianya.
Aspek spesifikasi memperlihatkan Italjet Dragster 2021 akan dikuasakan dua jenis enjin (4 Stroke, Single Cylinder, 4 Valves DOHC, Water cooled, DOHC) bersesaran 125cc dan 200cc, masing-masing dengan kuasa maksimum 14.9hp @ 10,000rpm dengan tork 12.5Nm @ 7,750rpm dan 19.8hp @ 8,250rpm dengan tork 17Nm @ 6,250rpm.