Yamaha Motor Vietnam hari ini secara rasminya mengumumkan pelancaran model moped yang ditunggu-tunggu iaitu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Yamaha Y15ZR V3). Pelancaran model yang digelar ‘Little YZF-R1’ dengan pelbagai teknologi moden itu bakal berlangsung pada tarikh 29hb. Disember 2020, bermula jam 7.00 malam.
Berdasarkan klip video teaser yang disiarkan di dalam laman YouTube Yamaha Motor Vietnam, jelas dapat dilhat bayangan model Yamaha YZF-R1 dan Yamaha Exciter 155 VVA 2021. Mungkin Yamaha Motor Vietnam mahu memberikan gambaran awal bahawa Yamaha Exciter 155 VVA 2021 kini merupakan sebuah model berprestasi tinggi.
Bagi memeriahkan lagi majlis pelancaran model tersebut, Yamaha Motor Vietnam turut menyediakan 100 unit Yamaha Exciter 155 VVA 2021 versi Limited Edition. Untuk memiliki model versi istimewa berkenaan, hanya 100 orang pelanggan bertuah Yamaha yang membuat tempahan awal (pre-order) secara online sahaja akan terpilih.
Seperti mana yang dijangkakan seperti kebiasaannya, pasaran Vietnam akan terlebih dahulu menerima kehadiran Exciter 155 VVA, dan akan diikuti oleh pasaran ASEAN yang lain termasuk Malaysia. Setakat ini Yamaha Y15ZR V3 sedang diuji oleh HLYM, dan pelancarannya di pasaran Malaysia dijangka akan berlangsung pada tahun depan.
Dengan pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021, ini bermakna Honda Winner X di pasaran Vietnam akan menerima saingan yang lebih hebat berbanding model Yamaha Exciter 150. Untuk pasaran Malaysia pula, Yamaha Y15ZR V3 apabila dilancarkan nanti pasti sekali lagi akan menjadi Raja Jalanan, biar berapa pun harga yang ditawarkan.