Pasaran Filipina baru-baru ini telah menerima kehadiran sebuah model skuter terbaharu yang tampil sporty dan elegan iaitu Rusi Rapid 150. Sekali pandang sudah tentu ramai yang mengatakan model tersebut ialah skuter Yamaha NVX (Malaysia, Vietnam), atau juga model Yamaha Aerox 155 (Indonesia, Thailand) dan Yamaha Mio Aerox (Filipina).
Rusi Rapid 150 dikuasakan enjin bersesaran 149.6cc (single-cylinder, four-stroke, air-cooled) yang menghasilkan kuasa maksimum 10.6PS @ 7,500rpm dengan tork puncak 10.5Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi automatik CVT, sistem penghidup jenis tendang dan elektrik dan tangki bahan api maksimum 5.0 liter.
Sistem suspensi Rusi Rapid 150 terdiri daripada fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis berkembar, manakala sistem brek cakera (depan) dan brek dram (belakang) melengkapkan ciri keselamatannya. Tayar depan dan belakang model skuter tersebut pula masing-masing didatangkan dalam ukuran 110/70-R13 dan 130/70-R13.
Rusi Rapid 150 turut dilengkapi sistem pengecas USB dan ruang barangan yang agak luas di bawah tempat duduknya. Berat kering skuter bertaraf klon itu ialah 108 kg, dan ianya didatangkan dalam tiga pilihan warna. Harga untuk model berkenaan tidak dapat dipastikan, namun ianya dijangka jauh lebih murah berbanding harga Yamaha NVX.