Harga Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam diturunkan, saingan sengit untuk Honda Winner X

Di pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 150 bersaing rapat dengan model Honda Winner X dalam mengungguli carta jualan semasa. Model-model yang lain seperti Suzuki Raider R150, Benelli RFS 150 dan SYM Star SR 170 tidak memberikan cabaran yang kuat kepada Yamaha Exciter 150, seperti mana yang dilakukan oleh Honda Winner X.

Sejak beberapa bulan yang lalu, Honda Winner X telah menerima diskaun harga yang tinggi sehingga memberikan kesan kepada penjualan Yamaha Exciter 150. Strategi tersebut sememangnya berjaya dan membolehkan Honda Winner X memintas jualan Yamaha Exciter 150 bagi bulan Januari – November 2020, sebagai model terlaris.

Oleh itu bagi memberikan cabaran semula kepada model Honda Winner X, harga jualan Yamaha Exciter 150 dalam bulan Disember 2020 ini turut menerima diskaun yang boleh dikatakan agak menarik. Menurut sumber dari Vietnam, keseluruhannya Yamaha Exciter 150 kini menawarkan diskaun sehingga 2,500,000 VND daripada harga asal.

Bagaimanapun jumlah diskaun tersebut masih belum boleh menandingi nilai diskaun yang diberikan untuk model Honda Winner X, yang dikatakan mencecah sehingga ke paras 11,000,000 VND. Walaupun jumlah diskaun yang diberikan agak kecil, namun jualan Yamaha Exciter 150 masih lagi tinggi dan menjadi pilihan ramai pengguna.

Melihat kepada corak pemasaran Yamaha dan Honda di pasaran Vietnam untuk dua model terlaris mereka, ianya sangat berlainan dengan apa yang berlaku di negara kita. Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R yang mendahului carta jualan semasa ketika ini tidak pernah diberikan diskaun, malah harga jualannya meningkat semakin tinggi.

Entah kenapa harga motosikal di Malaysia meningkat semakin tinggi berbanding harga jualan runcit yang disyorkan oleh pengeluar, masih lagi menjadi misteri sehingga kini. Malah lebih membingungkan ialah walau pun harga semakin meningkat tinggi, prestasi jualan juga semakin meningkat dan kekal popular di kalangan pengguna tempatan.

Senarai harga dan jumlah diskaun Yamaha Exciter 150 2020 (Vietnam) : 

Version Recommended price Price at agent Difference
Exciter 150 RC 46,990,000 44,490,000 2,500,000
Exciter 150 GP 47,490,000 44,990,000 2,500,000
Exciter 150 limited 47,990,000 45,490,000 2,500,000
Exciter 150 Monster 48,990,000 46,490,000 2,500,000