CFMOTO baru-baru ini dengan rasminya melancarkan jenama pengeluar motosikal elektrik baharu bertaraf global yang dikenali dengan nama ZEEHO. Ianya merupakan langkah awal CFMOTO dalam menceburi bidang pengeluaran kenderaan elektrik yang menjadi antara visi masa depan untuk syarikat berkenaan.
Dalam majlis pelancaran yang berlangsung itu, CFMOTO turut memperkenalkan sebuah model konsep elektrik pertamanya yang dikenali dengan nama ZEEHO Cyber. Bukan hanya sekadar model konsep, ZEEHO Cyber akan masuk ke versi pengeluaran tidak lama lagi dan akan dijual di pasaran China mulai separuh pertama 2021.
ZEEHO Cyber dilengkapi sistem penjana kuasa Cobra yang merangkumi motor elektrik dengan sistem sejukan cecair dengan penilaian IP6, dan menawarkan kuasa sehingga 10kW dengan tork 21.3Nm. Model konsep Cyber yang ringan itu mampu memecut dari 0-50 km/j dalam tempoh hanya 2.9 saat dan mencapai kelajuan puncak 110 km/j.
Jarak perjalanan ZEEHO Cyber dikatakan mencapai sehingga lebih 130 km dengan sekali cas, melalui tenaga yang disimpan oleh bateri lithium-ion 4kWh. Menggunakan sistem pengecasan pantas, kapasiti bateri boleh mencapai tahap 80 peratus dalam tempoh hanya 30 minit, seterusnya menjimatkan masa menunggu yang berharga.
Sistem pengurusan bateri yang digunakan membolehkan jangka hayatnya mencapai 2,500 kitaran, atau lapan tahun, dan jarak perjalanan yang boleh mencapai sehingga 300,000 km sewaktu beroperasi dalam suhu antara -20 dan 55 darjah celsius. Daya tahan suhu itu menjadikannya sesuai untuk kebanyakan iklim di seluruh dunia.
Kelengkapan teknologi moden dan canggih pada ZEEHO Cyber antaranya termasuklah enam kamera berdefinisi tinggi 360 darjah yang lengkap untuk sistem amaran, sistem kawalan kestabilan Bosch, sistem ride-by-wire ‘Just ride’ yang menawarkan tiga mod tunggangan iaitu ‘Eco’, ‘Street’ dan Sport’ dan sistem brek Brembo dengan ABS.
Ciri-ciri teknikal lain adalah seperti sistem suspensi berprestasi tinggi dengan ciri boleh laras dan tayar Pirelli Diablo yang dipasangkan pada rim aloi bergaya agresif termasuk rim belakang ‘disc-style’ yang menyerlah. Sistem pacuan akhir merupakan jenis rantai.
Model konsep Cyber juga boleh dihubungkan dengan aplikasi ZEEHO untuk melihat status bateri, fungsi navigasi, penyesuaian panel instrumen oleh pengguna, sambungan komunikasi pintar, permulaan tanpa kunci (keyless start), mobile unlock (buka kunci mudah alih), arahan suara, diagnostik jarak jauh dan termasuklah fungsi penjejakan.