Honda ADV150 2021 dilancarkan di pasaran Brazil, harga bersamaan RM 13,889.25

Honda ADV150 sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai peminatnya di kebanyakan negara di seluruh dunia. Terkini, para peminat skuter bercirikan aktiviti kembara itu di pasaran Brazil sudah boleh menarik nafas lega apabila model tersebut secara rasminya mula dijual di pasaran negara tersebut, bermula bulan Disember 2020 ini.

Untuk pasaran Brazil, Honda ADV150 hanya tersedia dalam satu varian sahaja dan boleh didapati dalam dua pilihan warna Red dan Pearl White. Harga yang ditawarkan pula adalah sebanyak R$ 17.490, bersamaan RM 13,889.25 mengikut kadar semasa. Harga tersebut hanya sedikit tinggi berbanding harga jangkaan di pasaran Malaysia.

Honda ADV150 untuk pasaran Brazil memiliki spesifikasi seperti sistem brek ABS, suspensi belakang Showa dengan tabung gas, panel meter digital, Smart Key, sistem Idling Stop, soket pengecas telefon pintar, sistem lampu LED sepenuhnya, windscreen boleh laras dan ruang simpanan barang-barang yang luas di bawah tempat duduk.

Untuk pasaran Brazil berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Honda Brazil, Honda ADV150 dilengkapi enjin 149.3cc yang menawarkan kuasa maksimum 13.2PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.5Nm @ 6,500rpm. Dengan tangki bahan api 8.0 liter dan berat kering hanya 127 kg, jarak perjalanan jauh pastinya mudah dicapai.

Untuk peminat skuter Honda ADV150 di pasaran Malaysia, tempahan kini telah dibuka oleh pengedar sah Boon Siew Honda, dengan jadual pelancarannya pada awal tahun depan. Bagaimanapun sebelum membuat tempahan, anda boleh saksikan dahulu gambar-gambar 360 darjah model berkenaan seperti mana dalam galeri di bawah.