Kawasaki baru-baru ini memperkenalkan sebuah model motosikal terbaharu Meguro K3, yang akan berada di pasaran domestik Jepun mulai 01hb. Februari 2021. Jenama Meguro tidak asing lagi dalam dunia pengeluaran motosikal di Jepun, sebagai antara syarikat terawal yang menghasilkan motosikal premium bermula sekitar tahun 1930an.
Pada penghujung tahun 1950an, Meguro mula mengeluarkan motosikal dalam sesaran enjin yang lebih kecil iaitu 50cc, 125cc, 250cc dan 350cc. Bagaimanapun model-model motosikal yang dikeluarkan itu gagal menarik minat pembeli kerana harga yang mahal, dan akhirnya menyebabkan Meguro mengalami masalah kewangan yang serius.
Pada awal tahun 1960an, Meguro menjalinkan kerjasama dengan Kawasaki Aicraft, dan pada tahun 1962 nama syarikat tersebut ditukar kepada Kawasaki-Meguro. Pada tahun 1963, Meguro dan Kawasaki telah bergabung untuk membentuk syarikat baharu yang akhirnya mengekalkan jenama Kawasaki, seperti mana yang kita kenali pada hari ini.
Melalui model Meguro K3, Kawasaki memperingati kembali jenama klasik Meguro yang merupakan sebahagian daripada sejarah terawal Kawasaki. Meguro K3 dibangunkan dengan asasnya daripada model Kawasaki W800, yang mana model tersebut telah menggantikan model Kawasaki W650 yang diinspirasikan daripada model W2 650.
Meguro K3 dilengkapi enjin bersesaran 773cc (air-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan padanan transmisi lima kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 52PS @ 6,500rpm dengan tork puncak 62Nm @ 4,800rpm. Model tersebut dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 15 liter dan mempunyai berat 227 kg.
Meguro K3 yang tampil dengan gaya klasik didatangkan dalam pilihan warna tunggal Mirror Coated Black / Ebony, bersama-sama tangki bahan api dengan dua tona warna dan emblem Meguro di kiri dan kanannya yang diwarnakan dengan tangan. Tempat duduknya menggunakan kulit yang halus dan tertera logo Kawasaki dibelakangnya.
Spesifikasi moden yang melengkapi Meguro K3 antaranya termasuklah Assist & Slipper Clutch, lampu depan LED, panel meter analog dengan paparan digital dan sistem brek dengan ABS. Harga yang ditawarkan untuk pasaran Jepun adalah sebanyak 1,276,000 Yen, bersamaan RM 49,883.75 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.