Honda ADV150 2021 dilancarkan di pasaran Kemboja, hadir dengan pilihan warna dan kemaskini baharu

Pasaran negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Brunei, Laos dan Kemboja merupakan antara negara-negara yang telah menawarkan model skuter kembara Honda ADV150. Bagaimanapun untuk pasaran Vietnam, setakat ini Honda ADV150 masih ditawarkan oleh pengimport bebas sejak tahun lepas.

Untuk pasaran Kemboja bermula pada awal bulan Disember ini, Honda ADV150 2021 terbaharu telah dilancarkan dengan empat pilihan warna terbaharu, di samping hadir dengan beberapa kemaskini yang lebih menarik. Antaranya ialah pemasangan logo baharu ADV150 berwarna emas di bahagian kiri dan kanan yang kelihatan mewah.

Model tersebut juga didatangkan dengan pilihan rim roda berwarna emas bagi model berwarna Everest White dan Midnight Black, manakala bagi model berwarna Magma Red dan Wolf Gray, kedua-duanya masih mengekalkan rim roda berwarna hitam seperti mana model Honda ADV150 2020 yang ditawarkan pada tahun sebelumnya.

Sejak ianya diperkenalkan di pasaran global, Honda ADV150 tampil sebagai sebuah model skuter kembara yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik. Antaranya termasuklah panel meter digital sepenuhnya, sistem Honda Smart Key, console box dengan pengecas USB, sistem lampu LED dengan lampu DRL dan ESS, windscreen yang boleh dilaraskan, suspensi belakang dengan subtank dan sistem brek ABS.

Honda ADV150 dilengkapi enjin eSP (Enhanced Smart Power) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, yang menghasilkan kuasa maksimum 14.5PS @ 8,500rpm dan tork puncak 13.8Nm @ 6,500rpm. Dengan kapasiti penuh tangki bahan api 8.0 liter, enjin yang responsif itu dikatakan mampu menempuh perjalanan melebihi 370 km.

Untuk peminat Honda ADV150 di pasaran Malaysia, model skuter yang dinanti-nantikan itu dijadualkan pelancarannya pada awal tahun depan, bersama-sama dengan model terbaharu Honda CBR250RR 2021. Tempahan untuk Honda ADV150 juga telah dibuka baru-baru ini, dengan harga jualannya dijangkakan dalam lingkungan RM 13k sahaja.

Artikel berkaitan :