Di pasaran Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah melancarkan dua buah model skuter SYM Jet 14 125 dan SYM Jet 14 200, sekitar tahun 2018 dan 2019 yang lalu. Setakat ini kedua-dua model tersebut masih lagi ditawarkan oleh MForce, dengan kemungkinan kedua-duanya akan digantikan dengan versi 2021 pada tahun depan.
SYM Jet 14 2021 baru saja diperkenalkan oleh SYM dalam bulan November baru-baru ini, didatangkan dengan beberapa naik taraf terkini yang lebih menarik. Terdapat empat varian yang ditawarkan iaitu SYM Jet 14 50, SYM Jet 14 125, SYM Jet 14 125 Liquid Cooled dan SYM Jet 14 200, masing-masing dikuasakan sesaran enjin yang berbeza.
Bagi model yang dipaparkan di dalam artikel ini, ianya merupakan versi dengan enjin 124.6cc (1-cylinder, Air-cooled, 4-stroke, OHC, 2-valve) yang menghasilkan kuasa maksimum 11.42PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 10.3Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut dilengkapi dengan sistem EFI dan dipadankan transmisi automatik CVT.
Beberapa naik taraf terkini untuk SYM Jet 14 2021 yang melibatkan keempat-empat varian tersebut ialah ianya kini dilengkapi enjin bertaraf Euro 5 yang lebih bersih, lampu depan LED dengan lampu posisi LED yang lebih sporty, elegan dan lebih selamat, serta turut menerima kehadiran port pengecas USB Quick Charge 2.0 yang lebih pantas.
Bagi varian SYM Jet 14 125 Liquid Cooled yang mempunyai sistem penyejukan jenis cecair pula, naik taraf yang diterima turut melibatkan bahagian enjin yang kini hadir dengan empat injap berbanding dua injap pada model sebelumnya. Naik taraf tersebut membolehkan tahap kecekapan dan prestasi enjin berkenaan dipertingkatkan.
Spesifikasi teknikal yang melengkapi SYM Jet 14 125 2021 juga merangkumi panel meter digital, sistem suspensi dengan fork depan teleskopik, suspensi belakang single shock, brek cakera depan dan belakang dengan sistem brek CBS, tayar depan dan belakang dalam saiz 100/90-R14 dan 110/80-R14 dan tangki bahan api 7.5 liter.
Setakat ini masih belum ada sebarang berita mengenai kemungkinan pelancaran SYM Jet 14 125 dan SYM Jet 14 200 2021 untuk pasaran Malaysia, bagi menggantikan dua model terdahulu yang masih ditawarkan ketika ini. Cuma yang pasti dua model baharu SYM Jet X 150 2021 dan SYM Jet 4 RX 2021 akan dilancarkan pada tahun depan.