Rusi merupakan jenama pengeluar motosikal, skuter dan kenderaan utiliti di pasaran Filipina. Salah sebuah model motosikal yang ditawarkan oleh Rusi dan mendapat perhatian ramai ialah Rusi Flash 150 EFI 2020 yang mempunyai penampilan sporty dan dilengkapi enjin 150cc, transmisi lima kelajuan dan sistem brek depan ABS.
Baru-baru ini Rusi memperkenalkan sebuah model motosikal terbaharu yang dikenali dengan nama Rusi Titan 250. Model bergaya klasik moden itu kelihatan mirip model Voge 300AC 2020 dan GPX Mad 300 di pasaran Thailand, namun dengan beberapa perubahan yang menjadikannya sebuah model dengan spesifikasi dan gaya tersendiri.
Rusi Titan 250 dilengkapi enjin bersesaran 223cc (single-cylinder, 4-stroke, oil-cooled) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 17.7hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 17.2Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 15.5 liter dan berat motosikal tersebut sekitar 139 kg.
Ketinggian tempat duduk Rusi Titan 250 ialah 790 mm dan motosikal tersebut berdiri di atas tayar depan bersaiz 100/80-R17 dan tayar belakang bersaiz 130/70-R17. Sistem suspensinya merupakan gabungan di antara fork depan jenis terbalik dan suspensi belakang monoshock yang pastinya menawarkan lebih keselesaan dan kestabilan.
Spesifikasi lain yang melengkapinya termasuklah sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, sistem lampu LED, panel meter digital, sistem ekzos stainless steel yang kelihatan sporty, tempat duduk dengan ciri anti gelungsor (anti-slide seat), ekor belakang bergaya scrambler dan pemegang nombor plat di bahagian bawah.
Secara keseluruhannya penampilan Rusi Titan 250 ini kelihatan sangat menarik dan berdasarkan pada beberapa keping gambar di bawah, kualiti pemasangannya boleh dikatakan berada dalam keadaan terbaik dan kemas. Untuk pasaran Filipina, Rusi Titan 250 2020 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Biru, Merah dan Hitam.