Honda SH350i 2021 dilancarkan di pasaran Eropah dengan enjin yang lebih berkuasa, penampilan terkini lebih segar

Dalam bulan November 2020 yang lepas, Honda dengan rasminya melancarkan model skuter terbaharu Honda SH350i 2021 untuk pasaran Eropah. Menggantikan model terdahulu Honda SH300i, ianya kini didatangkan enjin yang lebih besar, casis yang telah dikemaskini dan lebih ringan, serta penampilan baharu yang lebih segar.

Enjin Honda SH350i kini bersesaran 330cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, single, four-valve), peningkatan sebanyak 50cc berbanding enjin 279cc pada model SH300i. Oleh itu kuasa maksimum yang dihasilkan meningkat daripada 25.15PS kepada 29.36PS @ 7,500rpm, dengan tork maksimum kini berada pada paras 32Nm @ 5,250rpm.

Enjin yang mematuhi piawaian emisi Euro 5 yang lebih bersih itu dipadankan transmisi automatik V-Matic, dan ianya turut dilengkapi sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC). Sistem tersebut boleh diaktif dan dinyahaktifkan melalui butang yang tersedia di sebelah kiri handlebar. Tahap ekonominya dikatakan mencapai jarak 270 km+.

Di bahagian casis, kemaskini baharu dan penambahbaikan yang dilakukan telah berjaya mengurangkan beratnya sehingga 1 kg. Perubahan tersebut bersama-sama komponen fork teleskopik 35 mm di bahagian depan, suspensi belakang berkembar dan lengan ayun cast aluminium, memastikan tunggangan SH350i lebih stabil dan selesa.

Honda SH350i dilengkapi tayar depan dalam siri 110/70-R16 dan tayar belakang dalam siri 130/70-R16, yang mana kedua-duanya digandingkan dengan brek cakera depan dan belakang yang berukuran 256 mm. Melengkapkan ciri keselamatan model tersebut ialah sistem brek ABS dua saluran yang memberikan lebih prestasi dan keyakinan.

Dari segi gaya rekaan terkininya yang lebih segar dan elegan, Honda SH350i masih mengekalkan lantai rata yang praktikal. Lampu depan LED baharu bersama-sama lampu posisi di bahagian atas menjadikan wajah baharunya kini berbeza, diikuti oleh rekaan baharu lampu belakang LED dengan lampu indikator yang tersusun rapi.

Honda SH350i mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 805 mm, menawarkan posisi tunggangan yang santai dan tegak dengan pandangan hadapan yang bagus, dan menyokong pelbagai saiz penunggang. Ruang di bawah tempat duduknya mampu memuatkan sebuah helmet, di samping turut terdapat pengecas USB jenis Type-C.

Honda SH350i seterusnya didatangkan panel instrumen digital baharu dengan paparan semua lampu amaran, termasuk operasi HSTC dan ABS. Sistem lampu Emergency Stop Signal pula kini mempunyai ciri pembatalan automatik. Lebih memudahkan ialah Smart Key yang mengawal beberapa operasi termasuk menguruskan top box 35L.

Berat keseluruhan Honda SH350i 2021 hanyalah 174 kg (kerb weight), dan ianya boleh didapati dalam empat pilihan warna seperti Mat Carnelian Red Metallic, Mat Ruthenium Silver Metallic, Pearl Cool White dan Black. Pelbagai pilihan aksesori asli Honda turut disediakan untuk model berkenaan, antaranya seperti dalam senarai berikut :

  • 35-litre Smart top box & rear carrier kit
  • Windshield & knuckle visor set
  • Heated grips
  • Scooter blanket