Yamaha MT-03 2020 dilancarkan di pasaran Thailand

Pasaran Thailand baru saja menerima ketibaan model terbaharu Yamaha MT-03 2020, dalam tiga pilihan warna Kelabu, Biru dan Hitam. Untuk pasaran Thailand, penampilan warna Yamaha MT-03 itu sama seperti model yang ditawarkan di pasaran Jepun untuk tahun 2020, tidak seperti pasaran USA yang telah pun menerima versi terkini 2021.

Spesifikasi teknikal Yamaha MT-03 2020 di pasaran Thailand boleh dikatakan hampir sama dengan spesifikasi Yamaha MT-25 2020 yang dilancarkan di pasaran Malaysia. Apa yang berbeza hanyalah jumlah sesaran enjin Yamaha MT-03 yang lebih besar dan ianya turut dilengkapi sistem brek ABS untuk prestasi pemberhentian yang lebih cekap.

Yamaha MT-03 dikuasakan enjin bersesaran 321cc (liquid-cooled, DOHC, 4-stroke, 4 valves) dengan keluaran kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dan tork puncak 29Nm @ 9,000rpm. Sebagai perbandingan, janaan kuasa daripada enjin Yamaha MT-25 adalah sebanyak 35.5hp @ 12,000rpm dengan tork maksimum 23.6Nm @ 10,000rpm.

Ketika ini Yamaha di pasaran Thailand menawarkan promosi istimewa bagi pembelian Yamaha MT-03 2020, dengan tawaran harga serendah 159,000 THB (RM 21,468.12) berbanding harga asal 185,500 THB (RM 25,046.14). Tempahan boleh dibuat secara online bermula dari tarikh 1 – 7 Disember 2020, dan terhad untuk 200 unit sahaja.