Ducati dengan rasminya memperkenalkan Monster 2021 serba baharu yang kini tampil berbeza berbanding generasi sebelumnya. Seperti mana yang diperkatakan sebelum ini, Ducati Monster 2021 dibangunkan di atas kerangka baharu aluminium Front Frame yang diinspirasikan daripada Panigale V4, lebih ringan berbanding kerangka trellis.
Penampilan keseluruhan Monster kali ini juga lebih segar, sporty dan pada masa yang sama mengekalkan perwatakan agresifnya. Kini dikuasakan enjin bersesaran 937cc (Testastretta 11°, V2 – 90°, 4 valves per cylinder, desmodromic valvetrain, liquid cooled) dengan piawaian emisi Euro 5, kuasa yang dihamburkan berada pada tahap maksimum 111hp @ 9,250rpm dengan tork maksimum 93Nm @ 6,500rpm.
Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan yang telah diperbaharui bagi memastikan perubahan gear yang tepat, seterusnya dibantu oleh sistem Quick Shift Up & Down yang dipasangkan sebagai ciri standard. Dengan berat kering hanya 166 kg (dry weight), Ducati Monster 2021 dikatakan lebih mudah dikawal, efektif, pantas dan menawarkan tunggangan yang begitu menyeronokkan.
Ducati Monster 2021 bukan saja ringan, malah mempunyai reka bentuk kompak dan lebih langsing berbanding Monster sebelumnya. Tempat duduknya yang selesa berada pada paras 820 mm, dan turut tersedia pilihan tempat duduk 800 mm. Lebih dari itu, kit penurunan suspensi membolehkannya sampai ke tahap serendah 775 mm. Jarak di antara roda (wheelbase) pula mempunyai ukuran kompak hanya 1,474 mm.
Aspek teknologi memperlihatkan Ducati Monster 2021 dilengkapi kelengkapan standard seperti ABS Cornering, Traction Control dan Wheelie Control, kesemuanya boleh disesuaikan dengan tahap intervensi yang berbeza. Sistem Launch Control memastikan permulaan sepantas kilat, sementara tiga pilihan Riding Modes (Sport, Urban, Touring) membolehkan penunggang memilih sendiri perwatakan dan citarasa yang dimahukan.
Selain itu Monster 2021 juga dilengkapi paparan panel instrumen TFT berukuran 4.3 inci, sistem lampu LED dengan DRL, lampu penunjuk arah Dynamic, soket pengecas USB, fork depan upside-down 43 mm, suspensi belakang monoshock boleh laras dan brek depan Brembo 320 mm. Sepasang tayar Pirelli Diablo Rosso III membalut rim cast aloi ringan bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 180/55 ZR17 (belakang).
Ducati Monster 2021 boleh didapati dalam tiga pilihan warna seperti ‘Dark Stealth with black wheels’, ‘Ducati Red with black wheels’ dan ‘Aviator Grey with red wheels’. Pada masa yang sama Ducati Monster Plus 2021 turut diperkenalkan dengan pilihan warna yang sama, dengan tambahan kelengkapan ‘windscreen’ dan ‘passenger seat cover’. Untuk pasaran Eropah, Ducati Monster 2021 akan tiba di pengedar mulai April 2021.
Galeri : Ducati Monster 2021
Galeri : Ducati Monster Plus 2021