Beberapa keping gambar model Yamaha RX-Z 135 yang disiarkan di sini dikatakan keluaran tahun 1994, tampil dalam dua pilihan skim warna yang berbeza iaitu hijau dan merah. Tiada maklumat mengenai negara manakah ianya dipasarkan, tambahan pula bagi model berwarna merah, bahagian lampu belakangnya berlainan sama sekali.
Jika diperhatikan, lampu belakang Yamaha RX-Z 135 berwarna merah itu hadir dengan lampu signal jenis terpisah, serta rekaan lampu brek belakangnya yang kelihatan tirus dan lebih kecil berbanding model berwarna hijau. Spesifikasi lain kelihatan sama seperti model berwarna hijau, yang mana ianya versi yang pernah dijual di pasaran Malaysia.
Menurut maklumat dari Wikipedia, Yamaha RX-Z buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan April 1985. Motosikal dengan enjin dua lejang bersesaran 133cc itu kekal popular sehingga pengeluarannya ditamatkan secara rasmi oleh HLYM pada tahun 2011. Sehingga kini Yamaha RX-Z masih mempunyai ramai peminat setia.