Brixton Crossfire 500 2020 di pasaran Eropah, harga bermula dari 5,999 Euro

Dalam bulan Jun 2020 yang lepas, Brixton Motorcycles mengumumkan ketibaan model terbaharu keluarannya iaitu Brixton Crossfire 500 untuk pasaran Eropah. Tampil dengan reka bentuk retro yang sporty, model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 486cc (In-line 2-cylinder, 4-stroke, water-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 47.58PS (35kW) @ 8,500rpm dengan tork maksimum 43Nm @ 6,750rpm. Dengan berat 180 kg (unloaded mass), kelajuan maksimum motosikal tersebut dikatakan mencapai angka 160 km/j. Dengan ketinggian tempat duduk pada 795 mm, ianya turut menawarkan ciri tunggangan yang selesa.

Brixton Crossfire 500 seterusnya mempunyai kelengkapan seperti panel meter digital, sistem lampu LED, sistem suspensi depan dan belakang berjenama KYB dengan ciri pelarasan, dan termasuklah sistem brek J. Juan yang terdiri daripada cakera depan 320 mm dan cakera belakang 240 mm, lengkap dengan sistem brek ABS dua saluran.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Brixton Crossfire 500 antaranya ialah tuil brek dan klac boleh laras, sistem ekzos stainless steel dan tayar tanpa tiub berjenama Pirelli yang membalut rim roda bersaiz 120/70 ZR 17 (depan) dan 160/60 ZR 17 (belakang). Tidak dilupakan ialah ‘signature X-shape’ yang tersendiri, direka pada tangki bahan api.

Selain daripada versi standard, Brixton Crossfire 500 juga ditawarkan dalam versi yang lebih lasak iaitu Brixton Crossfire 500 X. Perbezaan di antara kedua-duanya melibatkan jalur grafik, pemegang nombor plat, rekaan tempat duduk, didatangkan handlebar yang lebih lebar dan dilengkapi tayar jenis dual-purpose untuk meredah laluan mencabar.

Brixton Crossfire 500 2020 untuk pasaran Eropah ditawarkan pada harga 5,999 Euro, bersamaan RM 29,274.02. Harga yang ditawarkan untuk Brixton Crossfire 500 X pula sedikit tinggi iaitu sebanyak 6,299 Euro, bersamaan RM 30,737.96. Pilihan warna untuk kedua-dua model Brixton Crossfire 500 itu ialah Bullet Silver dan Backstage Black.

Galeri : Brixton Crossfire 500 2020

Galeri : Brixton Crossfire 500 X 2020