BMW Motorrad memperkenalkan model terbaharu BMW S 1000 R 2021, yang kini tampil lebih dinamik dan lebih berprestasi. Model street fighter itu diasaskan daripada model supersport BMW S 1000 RR dan menawarkan teknologi inovatif yang sama.
Enjin empat silindernya menghasilkan kuasa maksimum 165hp @ 11,000rpm dengan tork puncak 114Nm @ 9,250rpm. Untuk mengurangkan kebisingan dan penggunaan bahan api, gear 4, 5 dan 6 kini mempunyai nisbah yang lebih panjang. Sistem ‘self-reinforcing anti-hopping clutch’ pula memastikan operasi kotak gear yang lebih lancar, di samping sistem ekzos yang lebih ringan yang kini mematuhi piawaian Euro 5.
Menurut BMW Motorrad, enjin yang diasaskan daripada model S 1000 RR itu telah dibangunkan baharu, kini lebih ringan sebanyak 5 kilogram. Begitu juga casis dengan Flex Frame yang dibangunkan baharu sepenuhnya, juga diasaskan daripada model S 1000 RR yang kini tampil dengan kadar pengurangan berat yang signifikan.
Flex Frame yang menampung enjin mempunyai rekaan yang lebih sempit, seterusnya menawarkan lebih ruang kepada penunggang untuk mendapatkan posisi tunggangan yang lebih selesa, begitu juga dengan pergerakan penunggang yang kini lebih bebas.
Lengan ayun (underslung swingarm) yang juga berasal daripada model S 1000 RR dan suspensi belakang kinematik Full Floater Pro kini terletak lebih jauh dari paksi ayunan dan enjin. Posisi tersebut dikatakan berupaya mengekalkan suhu enjin yang lebih stabil, dan pada masa yang sama memastikan respon redaman yang lebih berterusan.
BMW S 1000 R 2021 dilengkapi ciri-ciri standard seperti Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro dan tiga mod tunggangan iaitu “Rain”, “Road” dan “Dynamic”. Mod “Dynamic Pro” yang boleh dikonfigurasikan sepenuhnya juga boleh didapati melalui ciri pilihan “Riding Modes Pro”. “Riding Modes Pro” turut menawarkan fungsi “Engine Brake” bersama-sama dengan fungsi drag torque control (MSR) dan “Power Wheelie”, Juga termasuk dalam pilihan “Riding Modes Pro” ialah Dynamic Brake Control (DBC).
Kluster instrumen digital TFT yang melengkapi S 1000 R juga dibawakan daripada model S 1000 RR, bersaiz 6.5 inci dengan ciri sambungan bluetooth melalui telefon pintar sebagai ciri standard. Selain itu sistem lampu baharu pada S 1000 R juga kini dilengkapi teknologi LED sepenuhnya, dengan Headlight Pro sebagai ciri pilihan.
BMW S 1000 R 2021 tampil dengan pengurangan berat 6.5 kg kepada 199 kg (DIN) atau 202 kg termasuk pakej comfort dan dynamic. Pakej M pula mengurangkan lagi beratnya sebanyak 4.8 kg (2 kg with forged wheels / 3.7 kg with carbon fibre wheels).