Sama seperti model sport bike Kawasaki Ninja 125, model naked Kawasaki Z125 juga merupakan produk eksklusif untuk pasaran Eropah. Bagaimanapun untuk musim 2021, Z125 tampil dengan warna dan spesifikasi yang sama seperti model tahun 2020.
Tiada sebarang perubahan yang dilakukan, dan ianya kekal dengan tiga pilihan warna terdahulu iaitu Metallic Flat Spark Black / Pearl Flat Stardust White, Metallic Flat Spark Black / Metallic Spark Black dan Candy Lime Green / Metallic Spark Black.
Dilengkapi enjin bersesaran 125cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves) dengan sistem suntikan bahan api, sistem penghidup elektrik dan transmisi enam kelajuan, kuasa maksimumnya ialah 15PS @ 10,000rpm dengan tork 11.7Nm @ 7,700rpm.
Pengendaliannya yang cemerlang ditugaskan kepada fork teleskopik 37 mm dengan suspensi belakang monoshock (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload), sementara ciri keselamatannya dibekalkan sistem brek cakera dengan sistem ABS.
Kawasaki Ninja Z125 2021 mempunyai ketinggian pelana 815 mm, jarak kelegaan bumi 185 mm, berat motosikal 147 kg (curb mass), tangki bahan api dengan isian penuh 11 liter, dan tayar bersaiz 100/80-17M/C 52S (depan) dan 130/70-17M/C 62S (belakang).
Kawasaki Z125 juga hadir dengan paparan instrumen digital sepenuhnya yang sporty dengan pelbagai info lengkap. Juga terdapat versi Performance yang dilengkapi dengan aksesori berupa ekzos Arrow dan penutup tempat duduk belakang (seat cover).