HLYM dijangka akan mengumumkan ketibaan rasmi Yamaha MT-15 2020 pada 18hb. November 2020

Laman Facebook Yamaha Motor Malaysia baru saja memberikan petunjuk awal bahawa Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) bakal mengumumkan sesuatu pada tarikh 18hb. November 2020, jam 8.00 malam, iaitu pada malam esok. Mungkinkah ianya pengumuman mengenai ketibaan rasmi Yamaha MT-15 2020?

Setakat ini brosur model street naked yang dinanti-nantikan itu telah pun bocor di dalam media sosial, memberikan maklumat lengkap mengenai spesifikasi dan pilihan warna yang ditawarkan. Cuma yang masih menjadi tanda-tanya ialah mengenai harganya, namun jangkaan awal sebelum ini ialah dalam lingkungan RM 12k ke RM 13k.

Dilengkapi enjin 155cc VVA yang berkuasa, kotak gear enam kelajuan, sistem Assist & Slipper Clutch, rangka Deltabox dengan lengan ayun aluminium, panel meter LCD, lampu posisi berkembar dan lampu hadapan LED, fork depan terbalik, cakera depan sebesar 282 mm dan tayar belakang lebar 140 mm, spesifikasi MT-15 sangat impresif.

Jadi untuk anda yang tidak sabar-sabar menantikan ketibaannya sejak ianya muncul di pasaran tempatan bersama-sama Yamaha MT-25 2020 dalam bulan September yang lepas, nantikan pengumuman rasmi HLYM pada malam esok. Sementara itu anda boleh saksikan dahulu gambar-gambar menarik model berkenaan dalam galeri di bawah.

Sumber gambar : FB Yamaha MT-15 Malaysia official