Kawasaki Ninja 250 2021 baru saja diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, dan jualannya akan bermula secara rasmi pada tarikh 01hb. Disember 2020. Ini bermakna Kawasaki masih lagi menawarkan model Ninja 250 dengan enjin 250cc dua silinder, di samping Kawasaki Ninja ZX-25R dengan enjin 250cc empat silinder.
Didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Carbon Gray dan KRT Edition (skim warna terbaharu), Kawasaki Ninja 250 2021 masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti mana model tahun 2020. Perubahan yang dilakukan hanyalah melibatkan warna sahaja agar penampilan terkininya kekal segar dan sporty.
Harga jualan yang ditetapkan pula adalah sebanyak 643,500 Yen untuk model berwarna Metallic Carbon Grey (bersamaan RM 25,329.58 mengikut kadar semasa), manakala untuk model dengan skim warna KRT Edition, harga yang ditawarkan adalah sedikit tinggi iaitu 654,500 Yen (bersamaan RM 25,762.57 kadar semasa).
Kawasaki Ninja 250 2021 di pasaran Jepun kekal dikuasakan enjin 248cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 37PS @ 12,500rpm dengan tork puncak 23Nm @ 10,000rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 14 liter.
Untuk keselamatan, ianya dilengkapi sistem brek cakera depan 310 mm dengan gandingan brek cakera belakang 220 mm, lengkap dengan sistem brek ABS. Beratnya pula berada pada paras 166 kg. Untuk pasaran Jepun, Kawasaki turut menawarkan pelbagai pilihan aksesori yang menarik untuk model Ninja 250 2021 ini.
Sementara itu di pasaran Malaysia, Modenas sebelum ini telah mengumumkan bahawa syarikat pengeluar motosikal nasional itu akan melancarkan model terbaharu Modenas Ninja 250 khusus untuk pasaran tempatan, pada harga yang lebih mampu milik. Namun setakat ini nasib sebenar Modenas Ninja 250 masih belum diketahui.
Terdapat dua kemungkinan yang berlaku, sama ada pelancaran Modenas Ninja 250 ditangguhkan ke tahun depan, atau projek penjenamaan semula itu telah dibatalkan. Tidak mustahil Modenas telah menilai kembali projek tersebut, atau pun perbincangan dengan pihak Kawasaki menemui jalan buntu. Segalanya berkemungkinan.
Sumber gambar : Kawasaki1ban.com