Yamaha MT-03 2021 di pasaran USA, harga $4,599.00

Yamaha MT-03 2021 di pasaran USA kini hadir dengan kemaskini warna baharu yang kelihatan lebih segar dan sporty. Kedua-dua pilihan warna baharu itu dikenali dengan nama Storm Fluo dan Matte Stealth Black. Model tersebut akan berada di pasaran USA mulai bulan Januari 2021, pada harga $4,599.00 (bersamaan RM 18,963.98).

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang Yamaha Motor USA, spesifikasi teknikal untuk Yamaha MT-03 2021 didapati masih sama seperti model keluaran tahun sebelumnya. Ianya kekal dikuasakan enjin dua silinder bersesaran 321cc (liquid-cooled, DOHC, 4-stroke, 4 valves) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan jenis terbalik 37 mm daripada KYB, dan digandingkan dengan suspensi belakang jenis monoshock boleh laras (7-step preload adjustable). Sistem brek cakera di bahagian depan dan belakangnya masing-masing mempunyai ukuran 298 mm dan 220 mm, lengkap dengan sistem ABS dua saluran.

Antara ciri-ciri lain yang melengkapi Yamaha MT-03 2021 ini termasuklah lampu LED depan yang agresif, lampu isyarat membelok LED yang bergaya, panel instrumen digital LCD, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter, tayar depan dan belakang dalam saiz 110/70R17 dan 140/70R17, serta berat pada paras 169 kg (wet weight).

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-03 tidak ditawarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM), sebaliknya syarikat tersebut baru saja melancarkan model Yamaha MT-25 2020 dalam bulan September yang lepas. Harga jualan untuk model tersebut ditetapkan sebanyak RM 21,500.00 (tidak termasuk pendaftaran dan insuran).