Honda PCX125 mula diperkenalkan di pasaran Eropah sejak tahun 2010. Sehingga kini model skuter tersebut telah berjaya mencatatkan jualan melebihi 140,000 unit. Untuk musim 2021, versi terbaharu Honda PCX125 baru saja diperkenalkan, tampil dengan beberapa kemaskini baharu yang menawarkan lebih kemudahan dan keselesaan.
Antara perubahan yang dilakukan melibatkan bahagian kerangka yang direka semula, sistem suspensi belakang yang dinaiktaraf, rim roda baharu yang lebih begaya dan tayar depan dan belakang yang lebih besar berukuran 110/70-R14 dan 130/70-R13. Sistem brek cakera depan 220 mm lengkap dengan ABS untuk lebih ciri keselamatan.
Rekaan lampu LED di bahagian depan juga telah dikemaskini, di samping perubahan baharu melibatkan bahagian fairing depan dan skrin perlindungan angin berwarna hitam yang dipertingkatkan kemampuannya. Tempat duduk juga kini lebih selesa dengan jarak ketinggian hanya 764 mm dan ruang pemijak kaki yang lebih luas sehingga 30 mm.
Honda PCX125 2021 juga menawarkan ruang storan di bawah tempat duduk yang lebih luas, tambahan 2.4 liter kepada 30.4 liter, sempurna untuk memuatkan topi keledar bermuka penuh di samping barangan peribadi yang lain. Selain itu, soket pengecas USB jenis Type-C di dalam glovebox kini telah menggantikan pengecas jenis ACC.
Sistem Honda Smart Key juga merupakan tambahan baharu untuk lebih kemudahan, bersama-sama dengan panel instrumen digital baharu yang lebih lebar dengan paparan pelbagai maklumat berguna yang diperlukan seperti kelajuan, odometer, trip meter, tolok bahan api, tahap penggunaan bahan api dan penunjuk sistem Idling Stop.
Honda PCX125 2021 kini dilengkapi enjin baharu enhanced Smart Power Plus (eSP+) dengan ciri empat lejang satu silinder, sistem sejukan cecair, SOHC, empat injap dan bertaraf Euro 5, menghasilkan kuasa maksimum 12.3hp (9.2kW) @ 8,750rpm dengan tork maksimum 11.8Nm @ 6,500rpm. Sistem transmisinya ialah automatik V-Matic.
Dengan setangki penuh bahan api 8.1 liter, Honda PCX125 2021 dikatakan mampu pergi sejauh kira-kira 385 km. Untuk menambahkan lagi keyakinan penunggang dalam situasi permukaan jalan yang basah, ianya turut dilengkapi teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC), dan sistem tersebut boleh ditutup (turned off) sepenuhnya.
Untuk pasaran Eropah, Honda PCX125 2021 boleh didapati dalam empat pilihan warna yang menarik seperti Matt Dim Gray Metallic (warna baharu), Pearl Jasmine White, Candy Luster Red dan Matt Galaxy Black Metallic. Pilihan aksesori asli Honda yang ditawarkan pula termasuklah skrin penghadang angin dan Smart Top Box 35 liter.