Syarikat pengeluar motosikal tempatan Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. baru-baru ini dikatakan bakal melancarkan sebuah model kapcai terbaharu yang diberi nama Aveta Ranger 110. Rekaannya boleh dikatakan unik dan lain daripada yang lain, berdasarkan paparan awal gambar-gambar model tersebut seperti dalam galeri di bawah.
Setakat ini Aveta Ranger 110 dikatakan akan dilancarkan pada bulan November 2020, pada harga dalam lingkungan sekitar RM 3,500.00 (harga atas jalan, tanpa insuran). Ianya akan dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 110cc dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm.
Aveta Ranger 110 dikatakan telah menjalani ujian tunggangan dan dipercayai telah memenuhi spesifikasi sebagai sebuah kenderaan cekap tenaga. Pada masa yang sama Aveta Global Marketing juga dikatakan sedang menguji beberapa buah model baharu yang lain untuk diperkenalkan ke pasaran tempatan yang dijangka pada Disember ini.
Di pasaran tempatan ketika ini, Aveta Global Marketing telah memasarkan dua buah model keluaran mereka iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110. Kedua-dua model tersebut dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD di kilang mereka yang terletak di Lembah Klang, dan Aveta Ranger 110 juga turut dipasang di kilang sama.
Sama-sama kita nantikan kemunculan model terbaharu Aveta Ranger 110 di pasaran tempatan tidak lama lagi. Biar apa pun jenama atau model motosikal yang dikeluarkan, yang penting dunia permotoran tanah air akan bertambah meriah dan mempunyai lebih banyak pilihan. Apa pendapat anda berkenaan model terbaharu Aveta Ranger 110 ini?
Sumber : Motorev Facebook