Halaman Facebook KTM Premium Kuala Lumpur telah mengesahkan bahawa model terbaharu KTM 390 Adventure bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Bagaimanapun tarikh sebenar pelancarannya belum diumumkan, cuma dimaklumkan ianya dijangka akan berlangsung dalam bulan Oktober atau November tahun ini.
Harga untuk model berkenaan pula dijangkakan sekitar RM3X,XXX, mungkin tidak jauh berbeza dengan harga yang ditawarkan di pasaran Indonesia. Di pasaran Indonesia, KTM 390 Adventure 2020 dilancarkan pada penghujung bulan Ogos yang lalu, dengan harga Rp. 119,000,000.00, bersamaan sekitar RM 33.9k berdasarkan nilai semasa.
Spesifikasi yang melengkapi KTM 390 Adventure antaranya ialah enjin 373.2cc (four-stroke, single-cylinder, liquid cooled) dengan kuasa maksimum 43hp dan tork puncak 37Nm. Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi PASC slipper clutch dan sistem pendikit Ride-by-Wire yang canggih.
Selain itu ianya juga dilengkapi sistem suspensi WP APEX dengan ciri boleh laras, sistem brek ABS dua saluran daripada BOSCH dengan kaliper BYBRE dan terdapat mod standard OFFROAD ABS. Ciri-ciri lain termasuklah panel meter digital TFT, teknologi sambungan KTM MY RIDE, sistem lampu LED dan tangki petrol 14.5 liter.